MEMUKAU...pemandangan matahari terbenam di kota Makassar yang memukau.
Dengan 17,508 pulau, Indonesia negara kepulauan terbesar di dunia dan mempunyai banyak destinasi pelancongan menarik. Selain Bandung, Jakarta dan Bali, kota Makassar antara destinasi menarik untuk dikunjungi.
Makassar yang dulu dikenali sebagai Ujung Pandang adalah ibu negeri wilayah Sulawesi Selatan dan mempunyai sesuatu yang boleh diterokai.Mengikuti rombongan AirAsia selama lima hari ke kota yang dihuni empat etnik iaitu Bugis, Makassar, Mandar dan Toraja, memberi pengalaman baru kepada penulis.
Hari pertama di kota itu, tidak banyak aktiviti kami lakukan kerana ketika sampai hari sudah gelap ditambah kesesakan lalu lintas selain keletihan menempuh perjalanan tiga setengah jam di pesawat.
Namun, segala keletihan terubat apabila dijamu pelbagai makanan laut enak dan beraneka jenis sambal yang membuatkan berselera untuk makan.Sarapan di Hotel Santika, hidangannya cukup menarik dengan sajian sup ubi dan coto Makassar. Walaupun berdiet, keenakannya sukar ditolak.Destinasi pertama ialah pelabuhan Port Paotere sebuah pelabuhan kapal tradisional Bugis atau phinisi yang menerima lebih kurang 150 kapal setiap bulan kemudian ke Fort Rotterdam.Fort Rotterdam adalah benteng pertahanan yang dibina pada 1545 ketika pemerintahan Raja Gowa kesembilan.
REKA bentuk kubu Belanda, Fort Rotterdam yang masih terpelihara.
Menariknya, ia sebuah kubu Belanda yang menghadap laut dan berupa seekor penyu.Jika di Malaysia, kita ada Sunway Lagoon dan Genting Highlands, di Makassar juga mempunyai taman tema yang menjadi tumpuan warga kotanya setiap hujung minggu iaitu Taman Tema Trans Studio. Dikatakan taman tema berbumbung (indoor) paling besar di dunia, Trans Studio menawarkan pelbagai permainan, persembahan dan hiburan.Ia bersebelahan pusat beli-belah moden dan eksklusif yang mampu menarik golongan pertengahan serta atasan berbelanja. Pada hari ketiga, kami ke Air Terjun Bantimurung di daerah Maros, sejam perjalanan dari Kota Makassar.
Berkunjung ke Bantinmurung yang bermaksud air terjun, berkelah atau mandi manda bukanlah satu-satunya aktiviti yang boleh dilakukan di situ.Ini kerana, dengan mendaki lebih kurang 125 anak tangga dan merentas hutan sejauh lebih kurang 900 meter, Gua Batu menanti pengunjung. Lokasi ini turut menjadi habitat kepada rama-rama, burung dan serangga. Terdapat kira-kira 100 spesies rama-rama daripada pelbagai jenis termasuk Papillo androles.Dulunya, tempat ini di gelar 'Kingdom of Butterfly' kerana ada lebih 200 spesies rama-rama, namun kini hanya ada 100 spesies. Kami dibawa ke daerah Gowa iaitu bekas kerajaan maritim terbesar di Indonesia, 10 kilometer dari kota Makassar.Gowa daerah yang terkenal dengan sejarah kehebatan kesultanannya.
PAHLAWAN...makam Sultan Hassanuddin di Gowa.
Justeru, tidak lengkap rasanya jika tidak berkunjung ke Makam Pahlawan Nasional Sultan Hasanuddin di bukit Kale Gowa. Kami sempat singgah di Muzium Balla Lompoa. Sehari sebelum pulang ke tanah air, kami menjelajahi beberapa pulau di perairan sekitar kota Makassar. Kami dibawa ke Pulau Samalona, kira-kira 6.8 kilometer (km) dari kota Makassar.
Mengikut kepada program, kami akan berada di pulau itu setengah hari untuk melakukan pelbagai aktiviti termasuk menyelam dan snorkeling.Kegirangan untuk penulis bersama beberapa rakan untuk melakukan aktiviti snorkeling terus berubah apabila kunjungan kami disambut sampah-sarap terapung.Bagaimanapun, jauh di kedalaman tujuh atau lapan meter ke bawah, kehidupan marin termasuk terumbu karang yang cantik menanti peminat aktiviti menyelam dan snorkeling.
Kami turut singgah di Pulau Kodingareng Keke seluas satu hektar yang tidak berpenghuni, tetapi mempunyai pasir yang putih dan air laut yang jernih bak kristal. Pulau Barrang Lompo pula ialah sebuah pulau yang mempunyai kira-kira 4,700 penduduk. Menjejakkan saja kaki ke pulau itu, ketenangan dapat dirasai apabila berada di kampung yang mengamalkan kehidupan ringkas dan santai.
Kota Makassar mempunyai 12 pulau di sekitarnya dan terdapat beberapa lokasi kapal karam di perairan ini yang sesuai untuk aktiviti menyelam.Untuk aktiviti membeli-belah, kami dibawa ke Somba Opu. Ia pusat membeli-belah untuk pelancong mencari pelbagai barangan khas untuk dijadikan kenang-kenangan atau ole-ole untuk insan tersayang. Apabila sampai di situ, ada 10 jenis barangan yang paling popular dan mesti di bawa pulang termasuk sutera Bugis, songkok, dodol markisa, jus markisa, t-shirt, minyak urut, kopi toraja dan kacang gajus.
Tahun Melawat Makasar 2011Rombongan anjuran AirAsia dengan kerjasama Kerajaan Makassar bukan saja untuk mempromosikan perkhidmatan penerbangan AirAsia, tetapi mempromosi Tahun Melawat Makassar 2011.Sepanjang Tahun Melawat Makassar 2011, pelbagai program diatur bagi memperkenalkan tempat menarik di sekitar Makassar yang berpenduduk kira-kira 1.3 juta. Antaranya, persembahan kebudayaan pada malam Sabtu, pasar malam di Chinatown, promosi makan malam di atas kapal layar tradisional, Festival Antarabangsa Makassar pada April 2011 nanti dan banyak lagi.
> AirAsia kini terbang ke Makassar empat kali seminggu iaitu dari Kuala Lumpur pada pukul 12.50 tengah hari, manakala dari Makassar (Ujung Pandang) pada pukul 4.50 petang. Perjalanan memakan masa tiga setengah jam. Untuk tempahan boleh layari http://www.airasia.com/
*****hasil nukilan dari Suliati Asri *****
No comments:
Post a Comment