Saturday, November 6, 2010

Hitam VS Putih


HITAM dan putih antara warna kontra yang mampu mewujudkan suasana berbeza di ruang kediaman.


Gandingan dua warna itu mampu memberi impak dramatik dan menarik bagi hiasan dalaman.
Kombinasinya dilihat bersifat kontemporari dengan memaparkan ciri-ciri retro yang klasik dan evergreen. Daripada aksesori hiasan hingga kemasan lantai, warna hitam putih menterjemahkan suasana berbeza yang unik.




Hitam dilihat menzahirkan ciri sofistikated, mencuri tumpuan dan menunjukkan ketegasan gaya.




Sementara putih membuatkan ruang kelihatan lebih lapang dan meredakan ketegangan pandangan mata atau fikiran. Apatah lagi gandingan dua warna itu melengkapi gaya penataan kedesaan Perancis. Anda yang gemarkan tema atau gaya hitam putih perlu mengetahui panduan penataan asas mengenainya.




Langkah awal, pemasangan lantai hitam putih sesuai diketengahkan terutama kemasan marmar ala hitam. Serikan jubin seramik putih dengan sempadan hitam untuk menyerlahkan kelainan. Seterusnya dinding putih atau putih gading menyediakan latar belakang sempurna.


Ia menyerikan untuk gantungan gambar, lukisan dan karya seni yang secara tidak langsung berfungsi sebagai titik fokal. Pilihan bingkai gambar kayu gelap atau dicat hitam amat sesuai selain lukisan tema hitam putih bersulam rona merah dan keemasan.



Cuba kelainan dengan skema hitam-putih untuk menonjolkan ruang atau bilik kecil. Ia termasuk bilik mandi yang tampil anggun dengan kabinet berpermukaan hitam, sinki putih digandingkan dengan kelengkapan serta aksesori sesuai. Selain menampilkan tema, bilik berkenaan tampak bersih dan terjaga berbanding warna terang.


Kemasan cadar hitam putih di bilik tidur mencetuskan suasana romantik dan eksklusif. Kombinasi bantal, selimut dan aksesori hiasan bilik yang selari menzahirkan suasana yang anda inginkan. Tidak ketinggalan fabrik yang mempunyai sedikit sentuhan hitam tetap menarik jika pandai menyuai padan.


Kehadiran lampu terendak, alas meja, bingkai gambar, permaidani, bantal serta pintu yang menerapkan warna hitam putih hakikatnya satu kelainan. Ruang membaca atau bekerja juga tampil dengan aura keindahan tersendiri jika padanan hitam putih diketengahkan.



Rak terbuka pelbagai guna, kemasan lampu hiasan dan set meja atau kerusi sesuai rona berkenaan hakikatnya mengilhamkan pandangan berbeza. Ruang makan yang mengenengahkan gaya hitam putih tetap menarik bergantung kepada pilihan aksesori dan perabot sesuai.



Reka letak cermin berbingkai hitam dengan set kerusi dan meja makan rona hitam menonjolkan sudut pandangan menarik.

No comments:

Post a Comment