Showing posts with label Agama. Show all posts
Showing posts with label Agama. Show all posts

Friday, November 12, 2010

Dosa Jual Beli Hari Jumaat


Sudah menjadi kebiasaan, disebabkan hari Jumaat adalah hari kerja di Malaysia, lelaki yang bekerjaya terpaksa terkejar-kejar mengambil waktu rehat tengahari untuk makan tengahari dan juga menunaikan solat fardhu Jumaat secara berjemaah. Namun, dalam ketika itu, ramai yang tidak sedar setiap minggu, mereka mungkin membeli makanan yang berulamkan dosa.



Sebelum ini, saya pernah mengulas berkenaan hal ini melalui siaran ‘Tanyalah Ustaz TV9' dan juga wawancara bersama Utusan Malaysia. Namun melihat kepada kekerapan dan kurang sensitiviti kalangan umat Islam di Malaysia khususnya. Satu penulisan ringkas yang khusus berkenaan hal ini adalah perlu.



Persoalan jual beli yang terus berlangsung di kalangan peniaga dan pembeli lelaki selepas azan pada hari Jumaat perlu dipandang serius atau ia akan berterusan. Lebih kurang menyenangkan, apabila melihat peniaga-peniaga ini berkhemah di luar masjid, mengambil untung atas perkumpulan umat Islam yang ingin menunaikan solat Jumaat, sedang mereka menjadi penyebab kepada dosa.



PENGHARAMAN JUAL BELI SELEPAS AZAN DI HARI JUMAAT
Solat Jumaat adalah wajib hanya ke atas lelaki baligh dan bukan wanita. Justeru setiap urusniaga di antara wanita dengan wanita selepas azan pertama atau kedua dikumandangkan pada hari Jumaat adalah sah dan harus. Justeru, ia tidak termasuk di dalam perbincangan para ulama dan bukan pula fokus artikel ini. Ia adalah satu keharusan yang disepakati oleh keempat-empat mazhab terbesar dalam Fiqh Islam.



Demikian juga halnya bagi mereka yang tidak wajib solat jumaat kerana sebab lain seperti sakit, musafir dan sebagainya.



Perbincangan hukum hanya berkisar kepada para lelaki, sama ada peniaga lelaki, pembeli lelaki atau kedua-duanya sekali yang sihat, baligh dan tidak bermusafir.



Asas hukum adalah dari surah al-Jumaat ayat 9 yang maksud-Nya:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِي لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
Ertinya :Hai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan sembahyang pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingati Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.



AZAN PERTAMA ATAU KEDUA?Walaupun telah ijma'[1] di kalangan ulama akan pengharaman jual beli berdasarkan ayat di atas, mereka berbeza ijtihad dalam menentukan pengharaman itu jatuh selepas azan pertama atau kedua.



Perlu difahami bahawa azan Jumaat di zaman Nabi s.a.w, Abu Bakar as-Siddiq r.a dan Umar r.a hanyalah sekali sahaja, iaitu di ketika khatib (imam) naik ke atas mimbar untuk memulakan khutbah. Di zaman pemerintahan khalifah Uthman r.a, bilangan umat Islam bertambah lalu diperkenalkan azan kedua dan seterusnya ketiga (berfungsi sebagai iqamah).



Namun, hasil daripada kewujudan lebih dari satu azan selepas zaman Uthman, para ulama sekali lagi perlu berijtihad dalam menentukan azan manakah yang mesti tiada lagi jual beli selepasnya. Mazhab Maliki dan Hanbali jelas dan tegas bahawa pengharaman adalah selepas azan kedua iaitu di ketika khatib sudah naik ke atas mimbar, ia juga bertepatan dengan suasana di ketika turunnya ayat Al-Quran, para masa hayat baginda Nabi s.a.w.[2]



Imam At-Tohawi Al-Hanafi menegaskan :-
المعتبر الأذان عند المنبر بعد خروج الإمام ، فإنه هو الأصل الذي كان للجمعة على عهد رسول الله صلى الله عليه وسلم
Ertinya : Azan yang terpakai (dalam hal ini) adalah yang ketika keluar imam di atas mimbar, maka itulah yang asal sebagaimana Jumaat di zaman baginda Nabi s.a.w (Mukhtasar at-Tohawi, hlm 24)



Namun demikian, ulama mazhab Hanafi kelihatan mempunyai berbilang pandangan dengan majoriti di antara mereka berijtihad azan kedua adalah ‘pasti haram', cuma terdapat sebahagian besar mereka yang juga berpendapat pengharaman bermula sejak dari azan pertama (azan masuk waktu) lagi atau selepas tergelincirnya matahari pada hari tersebut.[3] Ini bermakna, mazhab Hanafi lebih tegas dalam hal ini dan disepakati oleh keempat-empat mazhab, berjual beli selepas azan kedua adalah haram.



Imam Ibn Kathir Al-Syafie menyebut :
اتفق العلماء على تحريم البيع بعد النداء الثاني
Ertinya : Para ulama bersepakat berkenaan pengharaman jualbeli selepas azan kedua ( Tafsir Ibn Kathir, 4/367)



BERDOSA SAHAJA ATAU AQAD JUGA BATAL?Walaupun berjualbeli di waktu itu adalah haram yang beerti berdosa atas si penjual dan pembeli, namun adakah aqad jual beli mereka terbatal?



Jika kesalahan ini dilakukan, dosa yang ditanggung adalah satu peringkat, manakala sah batal transaksi itu pula adalah satu peringkat yang lain. Jika aqad tidak sah, beerti pemilikan harga yang diperolehi oleh penjual adalah batal dan demikian juga pemilikan pembeli ke atas barangan beliannya. Jika itu berlaku, beerti kedua-dua mereka menggunakan harta milik orang lain dan berterusan keadaan itu sehingga akhir hayat mereka dalam keadaan penuh syubhat dan bermasalah.



Dalam hal ini, para ulama tidak sepakat dalam menanggapi kesahihan atau terbatalnya aqad.



Para Ulama terbahagi kepada dua kumpulan :
Pertama : Aqad adalah sah dan hanya dosa ditanggung oleh penjual dan pembeli. Ia adalah ijtihad dari mazhab Hanafi, Syafie dan sebahagian Maliki.



Kedua : Aqad batal dan berdosa ; Ia adalah pendapat mazhab Hanbali dan majoriti Maliki.
Namun, berdasarkan penelitian, pendapat pertama adalah lebih kukuh, khususnya adalah rukun dan syarat jual beli telah semuanya dipenuhi, kecuali ia melanggar waktu jualan yang diharamkan sahaja, atas kesalahn itu dosa sahaja ditanggung tanpa pembatalan aqad.



Apapun, amat perlu umat Islam di Malaysia dan dimana sahaja untuk lebih berhati-hati dalam hal ini. Justeru, amat digalakkan agar dapat dinasihatkan kepada para peniaga dan semua warga Muslim yang wajib ke atas solat Jumaat untuk menghindari kesalahan ini. Kita bimbang,akibat kejahilan, ramai yang melanggarnya secara berulang kali.



KESIMPULAN
Kesimpulan, jual beli itu akan jatuh haram hanya apabila:
a) Dilakukan selepas azan kedua sewaktu imam berada di atas mimbar.
b) Dilakukan oleh lelaki (sama ada sebagai peniaga atau penjual) yang wajib solat Jumaat.
c) Mengetahui berkenaan hukum haram ini, dan wajiblah ke atas individu mukallaf untuk mempelajarinya. Wajib pula untuk menyampaikannya bagi yang mengetahui.



Saya amat berharap agar para khatib dapat mengingatkan perkara ini setiap kali mereka berada di atas mimbar, juga diingatkan oleh para bilal sebelum mereka melaungkan azan kedua. Digalakkan pula bagi orang ramai untuk mengedarkan tulisan ini di masjid-masjid bagi menyedarkan orang ramai.
Sekian.



Zaharuddin ABd Rahman
http://www.zaharuddin.net/

Thursday, November 11, 2010

Protokol Ke 10 Yahudi

1.. Song....
Lagu-lagu yang menghiburkan.. jika ada anak-anak yang tak tau mengucap.. tetapi boleh menghafal lagu Hindustan yang panjang berjela... Ada anak-anak yang tak hafal Fatihah.... tapi boleh mengingati lagu Siti Nurhaliza yang panjangnya berdepa depa..... berjaya sudah Yahudi.... Hingga kita terfikir..... bagaimana jadinya radio kalau tanpa lagu?

2. ...Sex.....
Lagi satu kegilaan remaja dan yang tua. Sex dimana-mana.. di kaca tv, dalam filem, dalam iklan... babak sex amat lumrah.. kekadang adegan sex tak diperlukan, tetapi diselitkan jua sehingga ada orang menonton filem hanya kerana ada adegan sex... filem 18SX amat laris berbanding filem U... VCD lucah mudah didapati... dan harganya amat murah... Adakah filem yang tiada adegan sex? Lagi sekali berjaya sungguh Yahudi laknatullah......

3. ...Smoke....
Rokok.. menjadi kegilaan para remaja... sehingga dikatakan tidak moden jika tidak merokok... malah sekarang merokok menjadi budaya bagi mana-mana perempuan yang kononnya mau digelar "up to date".. Dulu yang merokok ini golongan pelacur saja.... ataupun penari kabaret.... (aku tengok dari filem P Ramlee).... Syabas yahudi... berjaya lagi kamu....

4. .....Sport...Pelbagai jenis sukan ditonjolkan dan lelaki dengan perempuan sama-sama berlumba mencari nama dalam sukan... hinggakan sekarang bola sepak pun perempuan main juga.. Bila bersukan, tutup aurat mestilah jauh sekali, sembahyang pun banyak yang miss... bukan yang bermain sahaja tak sembahyang... yang menonton pun tak sembahyang juga... Kalau menonton di rumah... akan lambat sembahyang sebab takut tak nampak macam mana masuk GOL.... Yahudi gol lagi.... sampai ada ulamak kata... kerana sukan.. sembahyang boleh tangguh.....Masya-Allah,..
5. .. Fun..Hiburan...di mana-mana kita dapat hiburan yang melalaikan.... Kalau kita lihat dalam 100 majalah.. mungkin 99 adalah majalah hiburan.. termasuklah majalah mangga... yang menayangkan buah mangga artis perempuan.... Kalau ada konsert.... sanggup orang Islam bertandang hingga menghabiskan banyak wang dan bila ke konsert.... pelbagai maksiat akan diselit masuk.... Yahudi terhibur lagi....

6.... Female...Perempuan...tawaran Yahudi yang amat mengasyikkan..terutama dalam iklan..yang kadang-kadang tidak ada kena mengena dengan perempuan... Kalau kita ke kedai bateri kereta.... di hadapan bateri terpampang gadis sunti separuh bogel beraksi... apa kena mengena bateri kereta dengan perempuan?... kalau iklan Modess... perempuan ada patutlah... Yahudi bersorak lagi.....

7...Fashion....Fesyen terutama perempuan yang bermacam- macam.. sehinggakan kalau pakai tudung pun mereka dah tak menutup aurat.... Macam mana dikatakan bertutup aurat jika bertudung tetapi berbaju ketat yang kekadang menampakkan pusat? Yang mewarnakan rambut lagi teruklah... Buat apa bertudung kalau rambut diwarnakan.... Bila warnakan rambut.. mestilah tidak bertudung sebab kalau bertudung.. bagaimana nak menayangkan warna rambut yang terkini itu... Kalau dah rambut diwarnakan... sembahyang pun tak sah... malah mandi hadas pun tak sah sebab kebanyakan pewarna adalah kalis air... itu tak kira yang cukur bulu kening lagi... Yahudi ketawa lagi....Umat islam sudah jadi macam Yahudi....
8. .. Food..Makanan..
Lagi satu kegilaan Umat Islam terutama makanan dari Barat termasukalah McD, Kentucky , Pizza hut... dan seribu satu macam lagi... Buah kurma yang menjadi makanan Rasulullah dipandang hina.... masuk rumah pun setahun sekali bila bulan Ramadan... tapi makanan Barat menjadi kebanggaan... Bila makanan datang dari Barat.. adakah kita yakin tentang halalnya? Contohnya Kentucky .. rempahnya datang dari Amerika.... siapa nak pergi check... halal ke tidak? Bila makan benda haram, masakan iman menjadi mantap... Maka lahirlah Umat Islam yang bukan perangai saja macam yahudi... tetapi berfikiran pun macam yahudi... Nauzubillah.....Yahudi makan Islam lagi...


Itu baru protokol yang ke 10......yang lain-lain entah macam-macam lagi.... aku cinta Malaysia ...... tapi lebih cintakan ALLAH..... oleh itu, jika berlaku pertembungan antara kepentingan manusia dengan kepentingan Allah......

DAHULUKAN KEPENTINGAN ALLAH....
Ayat2 Al Quran yang boleh diamalkan :
Untuk elak suami/isteri dan anak2 bergaduh : Surah Al Baqarah - Ayat 102
Anak2 pandai belajar : Surah Al Anbiyaa'- Ayat 79
Anak2 lembut hati/ elak panas baran : Surah Al Anbiyaa - Ayat 69 dan Surah Al Hasyr - Ayat 22-24
Anak2 malas sekolah : Surah Toha ayat 1-5
Ayat pendinding : Ayat akhir surah At Taubah
Bg anak2 yg suka keluar malam : Surah Ar Ruum Ayat 31. Baca 33x
Untuk jadi pendinding rumah : Surah Al Baqarah dibaca & tiup pada air dan spray keliling rumah

1 minit untuk mengingat Allah
Langkah 1
Sebutlah dengan sepenuh hati dan lidah yang fasih:·
=> SUBHANA'LLAH
=> ALHAMDULI'LLAH
=> LAA I LAAHA ILLA'LLAH
=> ALLAHU AKBAR
=> ASTAGHFIRU'LLAH
=> LAA ILAAHA ILLA'LLAH, MUHAMMADUR RASULU'LLAH
=> ALLAHUMMA SALLI WA SALLIM WABARIK ' ALA SAYYIDINA MUHAMMAD WA AALIHI
=> WA SAHBIHI AJMA'EEN

Langkah 2
Hayatilah sedalamnya akan makna ayat demi ayat, perkataaan demi perkataan

Langkah 3: ·
Menyampaikan maklumat ini kepada rakan2 yang anda kasihi..

Tuesday, November 9, 2010

Kisah Orang MUKMIN Dan Orang Kafir

Pada zaman dahulu ada seorang mukmin dan seorang kafir, kedua-dua mereka pergi menjala ikan. Si kafir mengangkat jala dengan menyebut nama berhalanya lalu dia mendapat banyak ikan manakala si mukmin mengangkat jala dengan menyebut nama Allah, tetapi tidak mendapat satu ikan pun. Orang mukmin itu pun menjala sehingga waktu maghrib maka dia pun dapatlah seekor ikan, tapi malangnya ikan itu telah jaatuh kembali ke dalam sungai. Maka kembalilah orang mukmin tanpa mendapat apa-apa ikan dan si kafir pula mendapat banyak ikan.

Melihat hal yang demikian, maka malaikat yang menjaga orang mukmin itu pun sangat kesal dan apabila malaikat itu naik ke langit maka Allah menunjukkan kepada malaikat tersebut tempat yang disediakan oleh Allah untuk oraang mukmin itu, iaitu syurga. Sehingga malaikat itu berkata, “Tidak bererti apa-apa pun penderitaan di dunia ini, apabila dia mendapat tempat di syurga”. Allah juga menunjukkan tempaat orang kafir kepada malaikat itu, dan berkatalah malaikat, “Demi Allah tidak berguna apa yang didapatinya di dunia pada hal tempat kembalinya adalah neraka jahanam”.

Pada hari Kiamat Allah tetap akan menolak empat alasan atas empat sebab:

1. Menolak alasan orang yang kaya jika orang kaya itu berkata, “Kekayaan itu telah menyibukkan aku sehingga aku tidak sempat melakukan amal ibadat”. Maka Allah akan berkata, “Kekayaan kamu itu tidak sampai dengan kekayaan Nabi Sulaiman, tapi Nabi Sulaiman tidak lalai dari melakukan ibadat”.

2. Apabila hamba sahaya berkata, “Oleh kerana aku hamba sahaya, maka aku tidak bebas, oleh itu aku tidak dapat beribadat kepadamu”. Lalu Allah berfirman, “Nabi Yusof juga pernah menjadi hamba sahaya, tapi tidak pula dia lalai dari melakukan ibadah”.

3. Apabila orang miskin berkata, “Kemiskinan inilah yang menyebabkan kami lalai dari beribadat kepadaMu”. Lalu Allah berfirman, “Kamu tidaklah semiskin Nabi Isa tapi Nabi Isa tidak pula lalai dari beribadat kepadaKu”.

4. Apabila orang yang sakit memberikan alasan dengan mengatakan, “Penyakit itulah yang telah menghalang aku dari beribadat kepadaMu”. Maka Allah berfirman, “Penyakitmu itu tidaklah seteruk seperti penyakit yang dihidapi oleh Nabi Ayub dan penyakit itu tidak menghalangnya dari beribadat kepadaKu”.

Sehinggakan tiada orang lagi dapat memberikan alasan kepada Allah kelak di hari Kiamat.

Monday, November 8, 2010

Jangan BangGA

Untuk renungan bersama, petikan ilustrasi daripada majalah Solusi
isu No.25 / 2010


































Haji Akbar

Nabi SAW menamakan hari sembelihan iaitu 10 Zulhijjah sebagai Haji Akbar. (Riwayat Abu Daud dengan sanad sohih : Ibn Qayyim dan Albani).

Sayyidina Ali Abi Talib juga pernah ditanya tentang apakah itu Haji Akbar, beliau menjawab:
“Ia adalah hari sembelihan (iaitu haji raya pertama). (Riwayat at-Tirmidzi)
Menurut Ulama itulah yang dimaskudkan di dalam ayat surat At-Taubah.

Bagaimanapun sesetengah ulama membawakan hujah mereka mengatakan Haji Akbar itu adalah Hari Arafah.

Setengah ulama pula bersama sahabat seperti Ibn Abbas r.a dan Ibn Umar r.a yang menyatakan bahawa Haji Akbar itu adalah hari arafah yang jatuhnya pada hari Jumaat dan pahalanya disebut sehebat 70 kali pahala Haji biasa, Ia juga disebut oleh Imam al-Ghazzali, ini bermakna pada Haji Akbar, semua orang yang berada di Arafah akan diampunkan. Ia berdasarkan satu hadith yang diriwayat oleh Razin dalam Tajrid as-Sihhah, bagaimanapun al-Munawi menolak hadith itu dengan katanya “tiada asalnya”.

Kesimpulannya : Terdapat para sahabat mengatakan Haji Akbar itu adalah hari Arafah yang jatuh pada hari jumaat, manakala Ali k.w pula mengatakan ia adalah hari Qurban pada 10 zulhijjah dan setengah yang lain pula menyebut ia adalah semua hari-hari wuquf di Mina
( hari Tasriq).


Akhirnya, adalah amat perlu dipastikan bahawa tarikh hari raya ‘Idil adha ini menurut ijtihad pemerintah kerajaan Saudi bagi menyatukan umat Islam di seluruh dunia ( kecuali jika benar-benar sesebuah Negara itu mengikut rukyah), tanpa rukyah maka kiraan yang terbaik adalah dengan menuruti Saudi. Dengan itu, kekeliruan yang sering berlaku sebagaimana mencari Lailatul Qadar dan hariraya idilfitri akan berterusan. wallahu ‘alam
Sekian..

* Artikel adalah tulisan Saudara Rosli Hanip (http://www.roslihanip.com/)
Rujukan:
[1] Al-Mughni, Ibn Qudamah, 5/ 197
[2] Al-Majmu, 8/425 ; Al-Mughni, 9/436
[3] Al-Majmu, An-Nawawi, 8/313
[4] Al-Mughni, Ibn Qudamah, 5/200
[5] Bidayatul Mujtahid, Ibn Rusd Al-Hafid, 1/321 ( cet Maktabah al-Riyadh al-Hadithiyah) ; Rawdah At-Tolibin, An-Nawawi, 3/225
[6] Al-Mughni, Ibn Qudamah, 5/201
[7] Ahkam al-Quran, Al-Jassas

Potong Kuku, Rambut & Hukum Qurban

Hukum berkorban adalah sunat muakkad (yang dituntut) bagi orang yang mempunyai lebihan dan kemudahan harta. Demikian pendapat majoriti ulama termasuklah sahabat besar seperti Abu Bakar as-Siddiq r.a, Umar al-Khattab r.a, Ibn Mas’ud r.a dan lain-lain, kecuali Imam Abu Hanifah berpendapat ianya WAJIB bagi mereka yang berkemampuan.

[1] Bagi menggandakan pahala korban, seseorang yang sudah berniat awal untuk melakukannya digalakkan menahan diri dari memotong rambut dan kuku. Ia berdasarkan hadith riwayat Muslim yang sohih (yang bermaksud), iaitu :-

“Barangsiapa yang ingin menyembelih ( berkurban ), dan telah masuk sepuluh awal Zulhijjah), maka janganlah dia memotong apa-apa rambut atau kukunya SEHINGGALAH sampai korban dilaksanakan” ( Muslim, 3/39 )

Justeru, majoriti ulama dari mazhab Maliki, Syafie dan sebahagian Hanbali menyatakan makruh hukumnya bagi melanggarnya. Bagaimanapun ia tiadalah termasuk dalam kategori haram kerana Aisyah r.a pernah meriwayatkan bahawa beliau pernah menempah (menandakan dan membeli binatang) dan diniatkan untuk dilakukan Qurban, dan Aisyah r.a menyebutkan, tiadalah Nabi SAW mengharamkan apa-apa (semasa menunggu masa untuk menyembelih) sehinggalah sampai waktu sembelihan. Hadis tersebut adalah sohih riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Oleh itu, adalah dibenarkan untuk memotong kuku jika ia boleh mengganggu kesempurnaan wudhu dan lain-lain kewajiban.

TIDAK DIBENARKAN juga berkorban hanya dengan membayar harganya atau membeli daging lembu yang telah disembelih dari pasar lalu disedeqahkan atas niat Qurban. Tatkala itu, ia dianggap sedeqah biasa sahaja dan bukannya Qurban yang disyariatkan di hari raya Aidiladha.
Pahala Qurban adalah jauh lebih hebat dari bersedeqah harganya sahaja. Ia adalah fatwa oleh majoriti ahli ilmu seperti Imam Abu Hanifah, Malik, Syafie, Ahmad dan lain-lain.

[2] Adalah diingatkan jua agar meniatkan Qurban itu adalah kerana Allah SWT semata-mata, menuruti sunnah Nabi SAW dan Nabi Ibrahim a.s dan bukannya untuk menyedeqahkan daging atau lain-lain niat.

Firman Allah (yang bermaksud):
Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keridaan) Allah, tetapi ketakwaan dari kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik. (Al-Hajj : 37)


KONGSI LEMBUHarus hukumnya menurut majoriti ulama untuk berkongsi seekor lembu dengan dibahagikan kepada 7 bahagian atau seekor kambing berdasarkan hadith Nabi yang diriwayatkan oleh Jabir r.a.

[3] Adalah digalakkan juga untuk menyembelih sendiri (jika berkemampuan) atau menghadiri majlis sembelihan.

Sebuah riwayat hadith pernah mencatatkan nasihat Nabi SAW kepada Fatimah yang ingin berqurban :
“Hadirkanlah dirimu di waktu sembelihan, diampunkan bagimu dari titisan darah sembelihanmu yang pertama”
BINATANG TERBAIK UNTUK KURBANYang terbaik adalah unta, diikuti oleh lembu, kerbau, kemudian biri-biri, kambing dan jika tidak mampu bolehlah 1/7 dari unta, lembu, kerbau.
Yang terbaik sudah tentulah yang paling banyak dagingnya maka lebih ramai mendapat merasai dan manfaatnya.

PEMBAHAGIAN DAGINGDaging qurban yang telah siap dilapah bolehlah dibahagikan SEPERTI BERIKUT :
• 1/3 (sepertiga) kepada tuan rumah yang berqurban
• 1/3 (sepertiga) kepada faqir miskin termasuklah jirannya dan saudara mara dan
• 1/3 (sepertiga) lagi bagi sesiapa yang memintanya.

Ia berdasarkan firman Allah SWT (yang bermaksud):
“Dan makanlah ia, dan berikanlah ia kepada orang yang susah dan faqir.” (Al-Haj : 28) dan juga firman Allah (yang bermaksud) :
“Dan makanlah ia, dan berikanlah kepada orang yang memintanya dan yang tidak memintanya” (Al-Haj : 36)

Inilah yang dilakukan oleh Nabi SAW sebagaimana riwayat Ibn Abbas r.a dan Ibn Umar r.a. Namun demikian HARUS (DIBENARKAN) untuk tidak mengikut cara pembahagian ini SAMADA UNTUK MAKAN KESELURUHANNYA ATAU KEBANYAKKANNYA.

[4] Bagaimanapun DILARANG untuk memberikan tukang-tukang lapah dan penyembelih upah atas usahanya (iaitu dengan ditetapkan dari awal), bagaimanapun ia harus jika dia termasuk dari kalangan faqir miskin atau diberikan secara sukarela orang ramai sebagai hadiah.

TIDAK DIBENARKAN juga sepakat ulama untuk menjual dagingnya.
Namun tidak sepakat berkenaan penjualan kulit, bulunya dan tulang hasil Korban. Majoriti mazhab termasuk Syafie tidak membenarkan.

[5] DIBENARKAN untuk menyimpan daging-daging kurban walaupun melebihi 3 (tiga) hari berdasarkan hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Muslim.

MEMBERI DAGING KORBAN KEPADA ORANG KAFIR
Ulama berbeza pendapat dalam hal ini, sebahagian mazhab mengatakannya HARAM, ada yang mengatakannya MAKRUH dan Mazhab Hanbali, Hanafi mengatakannya sebagai HARUS kerana ia bukannya sedeqah wajib.

[6] Namun tiada khilaf, mendahulukan umat Islam adalah lebih utama dalam hal ini.

BERKORBAN ATAU MEMBAYAR HUTANGBolehkah seorang yang dibebani hutang bank dan rakan berkorban sekali setahun demi tawaran pahalanya?.
Justeru, untuk menentukan keutamaan samada menjelaskan hutang atau melakukan ibadah kurban kita perlu melihat kepada jenis hutang, tempoh janji bayaran semula dan kemampuan orang yang berhutang.
Jika ia adalah dari jenis hutang yang telah terancang pembayarannya seperti hutang bank dan selepas ditolak semuanya masih ada baki wang, tatkala itu individu tersebut sewajarnya melihat dan memikirkan berkenaan hutang tidak rasmi dari individu lain atau rakan-rakan serta tempoh yang dijanjikan.
Jika tempoh langsaian hutang masih jauh dan diyakini pendapatan akan datangnya boleh menampung semunya tanggungjawab wajib itu. Di ketika itu barulah ibadah kurban menjadi utama untuk dilaksanakan.
Ia amat jelas kerana ibadah kurban hanya sunat muakkad sahaja menurut majoriti mazhab mankala langsai hutang dalam tempohnya adalah wajib.
Jika disebabkan oleh ingin berkorban sehingga menyebabkan rakan pemberi hutang pula ‘TERKORBAN’, hubungan persaudaraan ‘terkorban’, atau hingga menyebabkan pihak bank mengenakan penalti kerana lewat bayar, tidak wajar sama sekali untuk berkorban juga. Keutamaan tetap bagi pelangsaian hutang berbanding berkorban. Waallahua’lam.

KORBAN OLEH ORGANISASI & SYARIKAT?
Ramai yang bertanya dan ramai juga yang melakukan amalan ini. Adakah sebuah syarikat boleh mengeluarkan budjet tertentu untuk membeli dua puluh ekor lembu dan berkorban atas nama syarikat?
Jawab seringkasnya:
“Tidak boleh !”Ibadah korban adalah ibadah yang dilakukan oleh individu tertentu atau untuk individu tertentu. Ia bukan untuk organisasi yang bukan manusia. Justeru, ia sebuah organisasi ingin melaksanakannya, ia MESTI menghadiahkannya kepada mana-mana Pengarah atau kakitangannya.
Ketika itu korban barulah sah dan ia menjadi korban oleh individu yang ditentukan namanya sahaja dan bukan atas nama syarikat. Pihak syarikat terbabit boleh bergilir-gilir menghadiahkan lembu tertentu dan bahagiannya DIHADIAHKAN kepada kakitangan secara khusus UNTUK DILAKSANAKAN sembelihan atau korban, pahala korban akan hanya diperolehi oleh individu dan pihak organisasi pula (iaitu pemilik organisasi iaitu manusia) hanya mendapat pahala kerana ‘menghadiahkan’ lembu atau bahagiannya kepada kakitangan sahaja.
Jika pihak syarikat tidak mahu berbuat demikian, bermakna ia mestilah meletakkan secara specific 20 ekor lembu itu, untuk para lembaga pengarahnya secara khusus juga. Ia bukan atas nama syarikat tetapi individu.

Indahnya Bulan Zulhijjah

Selepas ramadan bulan syawal. Selepas syawal bulan Zulqaedah. Dan sekarang Zulhijjah.

Bulan Zulhijjah, khususnya sepuluh hari awalnya adalah merupakan peluang kedua selepas Ramadhan untuk umat Islam mendapatkan gandaan keredhaan, keampunan dan pahala amalan. Ini yang selalu kita lalai mengenainya.

Disebutkan oleh Nabi SAW :
“Sebaik-baik hari di dunia adalah sepuluh hari itu” (Riwayat al-Bazzar ; Albani : Sohih).

Allah SWT pula berfirman (yang bermaksud) :
“Demi Fajar dan hari-hari yang sepuluh” ( Al-Fajr : 1).

Majoriti ulama menyatakan hari sepuluh itu merujuk kepada hari pertama hingga sepuluh Zulhijjah dan bukannya sepuluh terakhir Ramadhan. (Zad Al-Ma’ad, Ibn Qayyim).

Ia juga disebut oleh Nabi SAW dalam hadith lain :
“Tiada hari-hari yang lebih disukai oleh Allah SWT untuk hambanya memperbanyakkan amalan dari sepuluh hari ini” (Riwayat Al-Bukhari).

AMALAN-AMALAN UTAMA
Manakala amalan-amalan yang digalakkan sepanjang sepuluh awal Zulhijjah yang amat besar pahalanya ini antaranya :-
1. Zikir :
Iaitu dengan memperbanyakkan zikir Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaha Illa Allah dan Allahu Akbar.
Ia bersumber dari hadith riwayat At-Tabrani yang diakui sohih oleh Imam Al-Munziri. Allah SWT juga menyebut ertinya : “Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu..” (Al-Hajj : 28).
Ibn Abbas r.a mentafsirkan erti ‘hari-hari tertentu’ adalah sepuluh hari Zulhijjah ini dan inilah pendapat majoriti ulama jua.
2. Berpuasa :
Amat digalakkan berpuasa pada satu hingga sembilan Zulhijjah bagi orang yang tidak menunaikan Haji. Hari Arafah (9 Zulhijjah ) pula adalah hari yang terbaik untuk berpuasa.
Nabi SAW bersabda tentang kelebihan hari Arafah :
“Tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hambanya lebih dari hari Arafah” (Riwayat Muslim).
Nabi SAW juga bila ditanya tentang kelebihan berpuasa pada hari Arafah ini menjawab, ia menghapuskan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya.

3. Melakukan lain-lain amalan sunat:
Seperti bersedeqah, membaca Al-Quran, solat sunat dan lain-lain. Ia semuanya termasuk di dalam umum hadith yang menunjukkan ianya amat disukai oleh Allah SWT.


4. Menjauhi maksiat:
Inilah masa terbaik untuk memulakan taubat bagi sesiapa yang masih berfikir-fikir dan menangguhnya. Amat biadap jika umat Islam bersukaria dengan melampaui batas haram di hari yang amat agung di sisi Allah SWT ini.
Bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat dan sedarilah bahawa hidup ini sementara dan seluruh keseronokannya adalah tipu daya semata-mata.

5. Bertakbir :
Ibn Abi Shaibah menyebut bahawa `Ali KW menunjukkan bahawa permulaan takbir bermula sejurus selepas solat Subuh hari Arafah sehingga hujung waktu ‘Asar hari ketiga Tashriq. (13 Zulhijjah).

6. Berkorban :
Allah SWT berfirman : ertinya : “dan berdoalah dan berkorban”. Allah SWT juga menyebut (yang bermaksud) :
“Sesiapa yang membesarkan syiar Allah (berkorban) maka ia adalah dari tanda ketaqwaan hati” (Al-Hajj : 32)

Sebuah hadis menyebut :
Ertinya : “Tiadalah amalan anak Adam yang lebih disukai oleh Allah SWT pada hari kurban kecuali berkorban ( dengan menyembelih binatang)” ( Riwayat At-Tirmidzi, Abu Daud ; Gharib, namun terdapat rawi yang dipertikaikan )

Saturday, November 6, 2010

Kasihnya Nenek

JOHOR BAHRU: Perbezaan agama tidak menjadi halangan buat satu keluarga besar Islam untuk menyempurnakan mayat mendiang nenek mereka yang beragama Buddha di tanah perkuburan Cina Johor Jaya di sini, semalam.

Atas nama kasih sayang dan pertalian kekeluargaan yang kukuh, pengebumian Liang Ho, 95, yang meninggal dunia akibat sakit tua di rumahnya di Jalan Landak Batu, Century Garden di sini, kira-kira jam 3.30 petang kelmarin, diuruskan 16 cucu dan 50 cicitnya yang beragama Islam.

Upacara pengebumian mengikut adat agama Buddha itu turut disaksikan satu-satunya anak perempuan Liang yang masih hidup dan beragama itu, Low Ah Oi, 62. Tiga anak Liang yang lain sudah meninggal dunia, masing-masing seorang perempuan dan dua lelaki memeluk Islam selepas berkahwin dengan pasangan masing-masing berketurunan Melayu manakala suaminya, Low Song meninggal dunia pada 1974.

Menurut cucu sulung mendiang, Hamidah Ahmad, 49, pemergian Liang amat dirasai berikutan hubungan kekeluargaan yang sangat rapat dengan nenek disebabkan sikapnya yang sangat mengambil berat hal keluarga.

“Ketika kecil saya dijaga nenek. Walaupun beragama Islam dan dia Buddha, itu tidak menjadi halangan untuk mencurahkan kasih sayang kepada seorang cucu.
“Nenek seorang yang tegas dan pernah beberapa kali memarahi saya kerana lambat menunaikan solat, menunjukkan dia amat prihatin serta menghormati agama lain.
“Dia sering menghantar saya mengaji al-Quran, jika malas nenek tidak teragak-agak merotan saya,” katanya. Seorang lagi cucunya, Kalsom Ahmad, 43, berkata, neneknya memiliki daya ingatan yang kuat walaupun sudah berusia 90-an dan dia masih boleh mengingati nama cucu-cucunya. “Walaupun tiga daripada empat anaknya memeluk Islam, nenek sangat sayangkan kami malah tidak ada pilih kasih dalam melayan kami.

“Malah, kami semua paling gembira setiap kali menjelang musim perayaan kerana kami menyambut tiga perayaan setiap tahun iaitu Tahun Baru Cina, Aidilfitri dan Aidiladha,” katanya.
Kalsom berkata, nenek juga sering mengingatkan mereka agar bersederhana dalam perbelanjaan harian kerana dia sudah terbiasa dengan kehidupan susah sejak zaman muda.
Sementara cicit pertama mendiang, Marfuaah Mahfuz, 28, berkata, dia dan ahli keluarga lain tidak kekok membantu menguruskan pengebumian moyangnya itu selain turut mengiringi jenazah mendiang hingga ke tanah perkuburan.

Katanya, bukan saja tidak pernah membezakan agama, moyangnya juga melarang mereka daripada menjamah makanan tidak halal hinggakan menu makanan istimewa pada majlis makan besar Tahun Baru Cina turut diubah kepada masakan Melayu.

Moyang yang manja dengan panggilan ‘Mama’ itu juga dianggap istimewa apabila meminati penyanyi Melayu kelahiran negeri ini, Mawi selain gemar menonton drama Melayu dan Indonesia di televisyen (TV) termasuk sinetron Bawang Putih Bawang Merah.

“Oleh kerana tidak mahu terlepas rancangan kegemarannya, Mama sanggup makan malam lebih awal sebelum duduk depan TV.
“Pling menarik, Mama tidak membaca akhbar berbahasa Cina, tetapi memilih Harian Metro sebagai bacaan kegemarannya.
“Saya sentiasa ingat pesan Mama yang tidak suka perbuatan kurang ajar apa lagi menderhaka kepada orang tua atau membuli ahli keluarga,” katanya.

Thursday, November 4, 2010

Syaitan Oh Syaitan

HIDUP kita tidak sunyi daripada musuh dan antara musuh yang sering kita lupa ialah syaitan.
Syaitan adalah musuh yang agak 'pelik' kerana mereka tidak pernah berputus asa daripada rancangannya walaupun sedetik, sebaliknya sentiasa mencari kesempatan untuk menunaikan tugasnya.

Syaitan boleh melihat kita daripada sudut yang kita tidak dapat melihatnya. Mereka cuba pelbagai cara bagi memerangkap kita. Salah satu daripada sifatnya ialah secara bersembunyi. Taktik dan perangkapnya mungkin berbeza kepada seseorang. Taktik yang digunakan juga bergantung kepada masa, tempat dan situasi.

Berlawanan daripada apa yang majoriti manusia fikir, syaitan bukanlah makhluk khayalan. Sebahagian daripada ujian di atas muka bumi ini, seorang itu perlu berjaga-jaga daripada syaitan.

Ini kerana selepas menderhaka kepada Allah, syaitan bersumpah untuk menyesatkan hamba Allah. Kedegilan syaitan ini dinyatakan di dalam al-Quran sebagai perkara penting untuk diingati. Syaitan tidak mempunyai kuasa bebas tanpa Allah. Mereka diciptakan Allah dan berada di bawah kuasa Allah sepenuhnya. Syaitan juga hamba Allah dan hanya boleh melakukan sesuatu dengan keizinan daripada Allah. Mereka ditugaskan untuk membezakan manusia yang benar-benar beriman daripada mereka yang tidak beriman. Mereka hanya boleh bertindak dengan izin Allah. Apabila masa yang diberikan kepadanya tamat, dia akan dihumban ke dalam neraka bersama mereka yang disesatkannya.
Allah berfirman: "Sesungguhnya Aku pasti akan memenuhi neraka jahanam dengan jenis kamu dan dengan orang-orang yang mengikuti kamu di antara mereka kesemuanya." (Surah S�d ayat 85). Oleh itu, ingatlah bahawa syaitan sebenarnya tidak mempunyai kuasa ke atas orang-orang yang beriman. Sebagaimana yang dinyatakan di dalam ayat berikutnya, mereka hanya mempunyai kuasa ke atas mereka yang tidak beriman dengan ikhlas dan sebenarnya.
Iblis berkata: "Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya. Kecuali hamba-hamba Engkau yang mukhlis di antara mereka." (Surah al-Hijr ayat 39-40)
Syaitan tidak boleh menyesatkan manusia yang beriman kepada Allah. Memang benar, orang-orang yang beriman juga cenderung melakukan kesalahan, tetapi mereka tidak pernah putus asa daripada mengharapkan rahmat daripada Allah, dan secepat mungkin meminta perlindungan kepada Allah dan bertaubat dengan seikhlasnya. Kita diberitahu di dalam al-Quran mengenai mereka yang boleh disesatkan syaitan: Sesungguhnya syaitan itu tidak ada kekuasaannya atas orang-orang yang beriman dan bertawakal kepada Tuhannya. Sesungguhnya kekuasaannya (syaitan) hanyalah atas orang-orang yang mengambilnya menjadi pemimpin dan atas orang-orang yang mempersekutukannya dengan Allah. (Surah an-Nahl ayat 99-100)
Ingatlah, syaitan mahu kita menjadi angkuh, sombong dan derhaka kepada Allah seperti dirinya. Mereka mengarahkan kita melakukan kejahatan melakukan sesuatu yang dimurkai Allah dan berkata sesuatu tentang Allah tanpa ilmu.
Syaitan cuba menghalang kita daripada memahami kebesaran dan kekuasaan Allah yang sebenarnya. Allah menerangkan tentang bahaya ini di dalam al-Quran seperti berikut: "Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu. Sesungguhnya syaitan itu hanya menyuruh kamu berbuat jahat dan keji, dan mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui." (Surah al-Baqarah ayat 168-169)
Usaha utamanya ialah untuk menakutkan manusia dengan kemiskinan iaitu matlamat yang boleh dicapai sekiranya mereka boleh membuatkan manusia lupa hari kiamat.
Tidak sedar bahawa semuanya di bawah kawalan Allah, dan tiada siapa yang boleh menghalang sebarang kebaikan yang Allah kehendaki, orang ini hidup tanpa sebarang perasaan bertanggungjawab dan mereka melakukan segala kesalahan kepada Allah. Syaitan menjanjikan (menakut-nakut) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan (kikir), sedang Allah menjanjikan untukmu keampunan daripada-Nya dan kurnia. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui. (Surah al-Baqarah ayat 268)
Taktik utama syaitan ialah melalui tipu daya. Allah menerangkan tentang tipu daya ini "...dari kejahatan (bisikan) syaitan yang biasa bersembunyi, yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia." (Surah an-Nas ayat 4-5). Sebagaimana diterangkan oleh ayat itu, syaitan mendekati manusia secara senyap-senyap, melalaikan manusia dengan perkara remeh dan tidak penting dan menampakkan kesalahan yang dilakukan seolah-olah baik kepada mereka.
"Maka mengapa mereka tidak memohon (kepada Allah) dengan tunduk merendahkan diri ketika datang seksaan Kami kepada mereka, bahkan hati mereka telah menjadi keras dan syaitan pun menampakkan kepada mereka bagus apa yang selalu mereka kerjakan." (Surah al-An'am ayat 43)
Lebih penting lagi, mereka yang mempunyai hati yang keras dan berasa dirinya berada di dalam kebenaran, walaupun sebenarnya mereka terpesong, membawa diri mereka jauh daripada Al-Quran. Dengan membelakangi Allah, mereka lebih rapat dengan syaitan, mengikuti caranya, dan menjadi semakin biadab.

Tuesday, November 2, 2010

Cintaku Pada mu..

Masa pantas berlalu.. Usia kita juga makin meningkat.. Memori yang lalu menjadi kenangan walaupun ianya pahit dan manis.. Tetapi apa yang penting sekarang ini, jangan mempersia-siakan masa yang ada sekarang.. Kita tidak dapat menjangka berapa lama kita dapat menikmati keindahan dunia ini..
C.I.N.T.A.... Banyak makna untuk perkataan cinta ini.. Dan pelbagai cara dapat kita tunjukkan untuk membuktikan cinta kita.. Cinta kepada Tuhan. Cinta kepada Rasul. Cinta kepada ibu bapa. Cinta kepada suami/isteri. Cinta kepada saudara/sahabat.. Terlalu banyak ungkapan cinta yang dapat dilafazkan..
Cintaku kepada Allah, adalah terlalu Agung.. Kerana kita hanyalah hambaNya yang lemah, mencari keredhaanNya adalah yang utama.. Teringat aku akan cerita Rabiatul Adawiyah. Cintanya hanya kepada Allah semata2, mencari keredhaan DIA paling utama, pelbagai rintangan dan dugaan yang telah beliau tempuh. Jiwa wanitanya terlalu kental, kuat dan tinggi akhlaknya. Cintaku kepada Rasul, nabi yang terakhir. Kita umat akhir zaman yang tidak pernah menatap wajah Baginda. Tetapi kita tetap kenal akan keperibadian Baginda, ajaran dan nasihat2nya. Baginda ada menyebut "Ummati" sebanyak 3x sebelum wafat.. Kita semua adalah "Ummati" iaitu umat Baginda. Baginda pernah menangis bila mengenangkan umatnya iaitu kita semasa hayatnya. Betapa Baginda cinta akan umatnya, tetapi kita bagaimana pula??
Cintaku kepada ibu bapa, insan yang banyak berkorban jiwa raga demi kita anak-anaknya. Kesusahan dan kemiskinan bukannya alasan untuk tidak memberi kasih sayang, keperluan rohani dan jasmani.. Jasamu tetap ku kenang.. Moga Allah panjangkan umur ibu bapa, kerana ku belum bersedia. Kerana jasaku padamu belum banyak yang dapat ku berikan.. Ku sentiasa berdoa kesejahteraan hidupmu selalu.. AMINNN...
Cintaku kepada suami dan anak, sanggup ku korban nyawaku untukmu.. engkaulah penyeri hidupku, tak mungkin ku mungkiri janji cintaku padamu.. Tak sanggup ku kehilangan mu kerana dunia ini akan sunyi sepi tanpa tawa riang, senyuman, gurau senda kalian.. Biar apa dugaan sekalipun, ku tak sanggup berpisah. Kalian lah pengubat segala duka..

Friday, October 15, 2010

Panduan Didik Anak

Formula pendidikan untuk anak-anak :-
  1. Pemilihan jodoh, latar belakang keluarga, akhlak, agama, rupa paras yang menyejuk mata, ekonomi yang kukuh, tubuh badan yang sihat.
  2. Ibu bapa hendaklah sentiasa berdoa untuk kesejahteraan, kejayaan dan kebahagiaan anak sejak bayi dalam kandungan sehingga dilahirkan dan seterusnya.
    Doa Nabi Zakaria a.s (maksudnya) :
    “Wahai Tuhanku, kurniakanlah kepadaku daripada sisiMu akan zuriat (keturunan) yang baik. Sesungguhnya Engkau sentiasa mendengar (menerima) doa.” (Surah Ali Imran : 3)
    Doa Nabi Ibrahim a.s (maksudnya):
    “Wahai Tuhanku! Kurniakan aku (anak) yang termasuk orang yang soleh.” (Surah al-Saffat : 100)
  3. Ketika hendak menurunkan benih, harus didahului dengan belaian kasih sayang sehingga menimbulkan keghairahan yang tinggi untuk mendapatkan zuriat yang baik/sihat.
  4. Ibu harus membekalkan anak dalam kandungan dengan zat pemakanan yang diperlukan untuk proses pembesaran dan kecerdasan otak.
  5. Ibu harus mengawal emosi daripada menjurus kea rah negative seperti marah, gelisah, takut dan sebagainya.
  6. Bacalah al-Quran, dirikanlah solat dengan tetap, lidah basah dengan zikrullah, semoga jiwa sentiasa tenang.
  7. Banyakkan membaca buku ilmiah, kisah Nabi dan Rasul, ulama-ulama dan ahli-ahli falsafah Islam yang agung seperti Imam al-Ghazali, Ibnu Sina, al-Farabi dan lain-lain. Semoga perwatakan tokoh-tokoh agung ini akan mengalir ke dalam rohani anak dalam kandungan.
  8. Elakkan daripada membaca atau menonton adegan-adegan berwatak ganas atau manusia-manusia tidak bermoral.
  9. Suami harus sentiasa memberi suntikan motivasi kepada isteri.
  10. Ajaklah berbicara dengan anak dalam kandungan sambil membelai dengan penuh kasih sayang, terutama setelah anak dalam kandungan berusia empat bulan, kerana pada waktu itu kandungan sudah diberi roh.
  11. Ketika bayi lahir, sambutlah dengan azan di telinga kanan, kamat di telinga kiri, demi meneguhkan akidah dan kerohaniannya.
  12. Disunatkan membaca Surah al-Ikhlas dan diiringi dengan doa yang bermaksud : “Wahai Tuhanku, aku mohon kepadaMu semoga Engkau melindungi dirinya dan keturunannya daripada gangguan syaitan yang direjam.”
  13. Kemudian digosok langit-langitnya dengan manisan seperti madu, mengingatkan selepas ini dia harus menghisap susu ibunya. Amalan ini dinamakan ‘tahnik’ dan hukumnya sunat.
  14. Pada hari ketujuh selepas kelahiran, sunat dicukur rambut di kepalanya. Ia bertujuan untuk membuka semua liang rambutnya dengan itu akan menguatkan indera penglihatan, pernafasan dan pendengarannya.
  15. Pada hari ketujuh kelahiran, sunat dibuatkan akikah. Jika tidak dapat buat pada hari tersebut, bolehlah dibuat pada hari ke-14, atau pada hari ke-21. Jika tidak dapat juga, buatlah pada bila-bila masa sebelum baligh. Hikmah akikah sebagai tanda bersyukur, menjalin silaturrahim dengan jiran tetangga dan sanak saudara serta mengharapkan doa mereka untuk kebaikkan anak itu.
  16. Pada hari ketujuh juga, sunat diberikan nama yang indah dan ia diistiharkan kepada para tetamu yang hadir. Nama yang baik dari segi sebutan dan maknanya, akan menjadi satu doa dan suntikan motivasi yang berterusan kepada anak.
  17. Jangan dipaksa bayi untuk tidur berterusan siang dan malam. Ajaklah dia bercakap dan hiburkan ketika bayi sedang jaga. Dengan ini, jiwa dan emosinya akan membangun dan kecerdikannya tumbuh dengan subur.
  18. Dodoikan anak ketika hendak tidur dengan kalimat “La ilaha illallah” atau ungkapan lain berbentuk motivasi, doa dan harapan. Di samping itu, jangan lupa timang dengan penuh kasih sayang ketika bangun dari tidur dan pada waktu-waktu yang sesuai.
  19. Anak sebelum boleh bercakap, dan berjalan ke sana ke sini, terlebih dulu dia akan mendengar dan melihat. Oleh itu, wujudkanlah suasana yang harmoni dalam rumah tangga, elakkan perlakuan yang tidak elok dan juga elakkan suara kasar atau bahasa yang kesat, agar jiwa anak-anak tidak dicemari oleh unsure-insur negative.
  20. Jiwa agama hendaklah disemai dan disuburkan secara berterusan, akidah yang kukuh akan menjamin masa depan yang penuh gemilang.
  21. Anak-anak ketika kecil mudah meniru apa-apa jua yang dilihatnya. Oleh itu, ibu bapa hendaklah member contoh teladan yang baik kepada anak-anak mereka.
  22. Dedahkan aktiviti mencabar untuk menanamkan sifat berani, keyakinan diri dan berdikari. Contohnya memanjat, berenang, berlumba lari.
  23. Ibu harus bijak menghadapi telatah anak. Jika anak suka mencoteng dinding, nasihatilah dia, berilah dia kertas atau buku, biar dia mengembangkan bakatnya untuk menulis.
  24. Jangan terlalu memanjakan anak, kerana ia boleh melemahkan jiwanya. Latih anak kecil untuk membina sikap berdikari.
  25. Ketika anak berusia tiga hingga empat tahun, perdengarkan kata-kata hikmah yang pendek dan ulang selalu sehingga anak-anak dapat menghafalnya. Kemudia, suruh anak menghafal doa dan surah lazim ketika berusia empat hingga lima tahun.
  26. Ajar dan latih anak-anak mendirikan solat dan berpuasa supaya meeka dapat melakukannya dengan sempurna ketika berusia 10 tahun.
  27. Ibu bapa mesti sehaluan dalam mendidik anak.
  28. Ibu bapa mesti tegas ketika memberikan arahan kepada anak-anak untuk melakukan dolat dan disiplin keagamaan serta akhlak. Sekiranya anak yang sudah berumur 10 tahun masih enggan solat boleh dirotan sebagai pengajaran dan peringatan, merotan di bahagian punggung atau tapak tangan.
  29. Anak yang berbuat salah, hendaklah ditegur dan jika perlu dimarahi atau dicubit pahanya atau perutnya. Sementara yang melakukan kebaikan, perlu diberi sanjungan/hadiah sebagai perangsang dan iktibar kepada anak yang lain.
  30. Beri pendedahan kisah orang-orang kenamaan yang telah menempa kegemilangan dalam hidup mereka, dan telah berjasa kepada Negara/dunia, semoga akan menumbuhkan cita-cita besar pada diri anak kita.
  31. Anak yang sudah besar pun masih memerlukan nasihat dan peringatan menerusi khutbah di masjid atau pembacaan buku-buku agama.

Monday, October 11, 2010

Jagalah HATImu

Sewaktu lahir ke dunia, hati manusia putih bersih umpama kain putih yang tiada sebarang warna dan corak di atasnya. Itulah keadaan “fitrah” seperti yang disabdakan oleh Nabi SAW.

Hati yang bersih itu kerana tiada sebarang “titik hitam” yang mengotorinya. Tiada calar-balar dan kekeruhan. Tiada campur tangan luar. Keadaan ini berlangsung sehingga umur seseorang mencapai usia balighnya. Usia taklif.

Seseorang insan dikira bertuah dan mendapat kejayaan yang besar apabila ia dapat menjaga dan memelihara hatinya kekal dalam “kebersihan dan kesucian” hingga ke hujung usia taklifnya.

Jumlah “insane-insan hebat lagi terpilih” itu tentunya amat sedikit. Macam antah dalam beras. Apa tidaknya, zaman keanakan dan keremajaannya tidak tercemar dengan tempias duniawi dan lumpur kemaksiatan yang sedang atau mula “mengotori” hati ramai orang. Barangkali inilah remaja-remaja yang bakal beroleh lindungan ‘Arasy ar-Rahman pada hari pembalasan yang penuh dengan ketakutan. Siapakah mereka?

Mereka ialah para remaja atau pemuda pemudi yang tetap iman, tetap matlamat, jelas hala tuju, jati diri, konsisten, istiqamah dan beriltizam dalam ibadah dan ketaatan. Pendirian mereka teguh sekalipun amukan nafsu dan syaitan datang bagai angin taufan yang menggila, berselang seli dengan petir yang menyambar dan dentuman guruh yang gegak gempita.

Harus diingat, kekeruhan dan kecelaruan hati anak-anak yang baru menjengah ke usia baligh itu ada kaitan besar dengan cara bagaimana orientasi pendidikan yang diguna pakai dan ditarbiahkan oleh kedua-dua ibu bapa terhadap anaknya itu.

Bagi ibu bapa yang “mutadayyin” (orang yang beragama) dan Islami, yang mementingkan pendidikan Islami, akidah rabbani, akhlak dan adab sopan, usia rebung anak-anak dijaga dan dipikul dengan penuh amanah, kesedaran, keinsafan, perihatin dan tanggungjawab.

Ibu bapa yang kabur, fasiq, jahil, memuja kehidupan Yahudi dan Nasara, memuja hedonism, tiada matlamat hidup, ternyata telah merosakkan “rohaniah” anak-anak anugerah Tuhan itu. Maka rosaklah serosak-rosaknya fitrah anak-anak yang bersih lagi tidak berdosa itu hasil kecelaruan minda dan rohaniah kedua-dua ibu bapanya. Mereka telah mengorientasikan hati anak-anak dengan sesuatu yang tidak wajar bahkan menyimpang jauh daripada kehendak dan perintah Allah dan Rasul.

Inilah yang dikatakan kesan pendidikan. Inilah dosa dan kezaliman besar yang dilakukan oleh ibu bapa. Inilah kederhakaan ibu bapa terhadap anak-anak sebagaimana yang disebutkan oleh Amirul Mukminin, Sayidina Umar ibnul Khattab.

==>Petikan dari buku “Lembutkanlah Hatimu” karya Amaluddin Mohd Napiah..
Terima kasih kepada ayahku Desa bin Sawai, mak Embun binti Ali, Allahyarham wan Hj. Ali bin Lebai Teh, Allahyarhamah tok Hjh. Che Ma binti Dzahaban kerana menjaga dan mendidikku menjadi insan seperti sekarang. Jasamu ku kenang hingga akhir hayatku..

Saturday, September 4, 2010

Solat Tasbih

Semalam (3 Sept 2010) berkat di bulan Ramadhan dan hari Jumaat, di ofis ada la Jemaah Agama mengadakan program Solat Tasbih bagi staf perempuan. Tiap2 tahun memang menjadi kebiasaan untuk mengadakan majlis seperti ini. Moga semua hadirin yang turut serta pada majlis itu mendapat keberkatan dan keredhaan Allah SWT.. Aminn...
Solat ini dinamakan Solat Tasbih kerana ianya mengandungi 300 tasbih. Lafaz tasbih : Subhanallah, Wal hamdulillah, Wala ilaha illa Allah, Wallahu akbar.
Solat Tasbih sama seperti solat2 sunat yang lain. Cuma solat tasbih mengandungi bacaan tasbih yang banyak. Solat ini dilakukan sebanyak 4 rakaat. Jika dilakukan pada waktu malam, lakukan 4 rakaat dengan 2 salam. Jika dilakukan pada waktu siang, lakukanlah 4 rakaat berterusan dengan 1 salam sahaja dan tidak ada tahiyat awal.
Niat Solat Tasbih pada waktu malam : "Sahaja aku sembahyang sunat tasbih 2 rakaat kerana Allah Ta'ala".
Niat Solat Tasbih pada waktu siang : "Sahaja aku sembahyang sunat tasbih 4 rakaat kerana Allah Ta'ala".
Tatacara Solat Tasbih ada beberapa cara, tetapi saya paparkan yang mudah supaya kita dapat menjalaninya dengan sempurna.
1. Niat Solat Tasbih.
2. Takbiratul Ikram (Allahu Akbar).
3. Lafaz tasbih 15 kali.
4. Surah al-Fatihah dan surah pilihan.
5. Lafaz tasbih 10 kali.
6. Ruku".
7. Lafaz tasbih 10 kali.
8. 'iktidal.
9. Lafaz tasbih 10 kali.
10. Sujud.
11. Lafaz tasbih 10 kali.
12. Duduk antara dua sujud.
13. Lafaz tasbih 10 kali.
14. Sujud.
15. Lafaz tasbih 10 kali.
Maka kesemua itu 75 tasbih pada setiap rakaat, dan jumlah bagi kesemua pada 4 rakaat adalah sebanyak 300 kali tasbih (75 tasbih x 4 rakaat = 300 tasbih).
Selain kelebihan pahala bertasbih, Solat Tasbih juga adalah penebus dosa. Hukum bagi solat ini adalah sunat. Tetapi ada hadis yang menyatakan ianya adalah menjadi tuntutan bagi kita sebagai seorang hamba Allah. Solat Tasbih ini boleh dilakukan setiap hari, jika tidak mampu lakukan setiap Jumaat (sekali seminggu). Sekiranya tidak mampu pada setiap Jumaat, lakukanlah pada setiap bulan. Jika tidak mampu setiap bulan, lakukanlah setiap tahun. Jika tidak mampu setiap tahun, lakukanlah walaupun sekali untuk seumur hidup.
Waallahu'alam..