Monday, October 11, 2010

Jagalah HATImu

Sewaktu lahir ke dunia, hati manusia putih bersih umpama kain putih yang tiada sebarang warna dan corak di atasnya. Itulah keadaan “fitrah” seperti yang disabdakan oleh Nabi SAW.

Hati yang bersih itu kerana tiada sebarang “titik hitam” yang mengotorinya. Tiada calar-balar dan kekeruhan. Tiada campur tangan luar. Keadaan ini berlangsung sehingga umur seseorang mencapai usia balighnya. Usia taklif.

Seseorang insan dikira bertuah dan mendapat kejayaan yang besar apabila ia dapat menjaga dan memelihara hatinya kekal dalam “kebersihan dan kesucian” hingga ke hujung usia taklifnya.

Jumlah “insane-insan hebat lagi terpilih” itu tentunya amat sedikit. Macam antah dalam beras. Apa tidaknya, zaman keanakan dan keremajaannya tidak tercemar dengan tempias duniawi dan lumpur kemaksiatan yang sedang atau mula “mengotori” hati ramai orang. Barangkali inilah remaja-remaja yang bakal beroleh lindungan ‘Arasy ar-Rahman pada hari pembalasan yang penuh dengan ketakutan. Siapakah mereka?

Mereka ialah para remaja atau pemuda pemudi yang tetap iman, tetap matlamat, jelas hala tuju, jati diri, konsisten, istiqamah dan beriltizam dalam ibadah dan ketaatan. Pendirian mereka teguh sekalipun amukan nafsu dan syaitan datang bagai angin taufan yang menggila, berselang seli dengan petir yang menyambar dan dentuman guruh yang gegak gempita.

Harus diingat, kekeruhan dan kecelaruan hati anak-anak yang baru menjengah ke usia baligh itu ada kaitan besar dengan cara bagaimana orientasi pendidikan yang diguna pakai dan ditarbiahkan oleh kedua-dua ibu bapa terhadap anaknya itu.

Bagi ibu bapa yang “mutadayyin” (orang yang beragama) dan Islami, yang mementingkan pendidikan Islami, akidah rabbani, akhlak dan adab sopan, usia rebung anak-anak dijaga dan dipikul dengan penuh amanah, kesedaran, keinsafan, perihatin dan tanggungjawab.

Ibu bapa yang kabur, fasiq, jahil, memuja kehidupan Yahudi dan Nasara, memuja hedonism, tiada matlamat hidup, ternyata telah merosakkan “rohaniah” anak-anak anugerah Tuhan itu. Maka rosaklah serosak-rosaknya fitrah anak-anak yang bersih lagi tidak berdosa itu hasil kecelaruan minda dan rohaniah kedua-dua ibu bapanya. Mereka telah mengorientasikan hati anak-anak dengan sesuatu yang tidak wajar bahkan menyimpang jauh daripada kehendak dan perintah Allah dan Rasul.

Inilah yang dikatakan kesan pendidikan. Inilah dosa dan kezaliman besar yang dilakukan oleh ibu bapa. Inilah kederhakaan ibu bapa terhadap anak-anak sebagaimana yang disebutkan oleh Amirul Mukminin, Sayidina Umar ibnul Khattab.

==>Petikan dari buku “Lembutkanlah Hatimu” karya Amaluddin Mohd Napiah..
Terima kasih kepada ayahku Desa bin Sawai, mak Embun binti Ali, Allahyarham wan Hj. Ali bin Lebai Teh, Allahyarhamah tok Hjh. Che Ma binti Dzahaban kerana menjaga dan mendidikku menjadi insan seperti sekarang. Jasamu ku kenang hingga akhir hayatku..

No comments:

Post a Comment