Aktiviti mengemas dan membersihkan kediaman dilakukan tanpa berlengah apatah lagi bagi anda yang menerima kunjungan tetamu tanpa diduga. Kemasan di bilik mandi umpamanya antara ruang penting yang perlu diberi perhatian kerana bakal digunakan tetamu. Apatah lagi penataan sempurna ruang berkenaan secara tidak langsung menggambarkan personaliti dan cita rasa pemiliknya.
Ketika merancang atau menghias bilik mandi, pastikan ruang mencukupi bagi mewujudkan keselesaan dan suasana menarik untuk kegunaan ramai. Bilik mandi juga perlu memberikan kemudahan dan manfaat kepada anggota keluarga termasuk warga emas dan kanak-kanak.
Berikut beberapa langkah mudah membersihkan bilik mandi:
1) Lengkapkan diri dengan peralatan membersih seperti berus tandas, cecair pencuci tandas, kain pengelap, cecair pencuci cermin, penyapu berbulu sintetik, mop, beg plastik atau kotak untuk menyimpan barang dandanan diri yang bersepah dan bakul sampah.
● Pastikan ia mudah dicapai atau berada di sekeliling anda bagi mengelakkan tumpuan anda terganggu.
2) umpul semua pakaian kotor ke dalam bakul.
● Perlu diingat, anda sedang mengejar masa dan kerja menguruskan baju kotor disambung selepas tetamu pulang.
3)Buang semua sampah termasuklah produk dandanan diri anda yang tidak digunakan lagi.
● Jika lantai bilik air kering, gunakan penyapu untuk membuang sampah halus.
4)Lap lantai dan gunakan kain pengelap untuk mengeringkan sink atau tab mandi.
● Disebabkan anda mengejar masa, ketepikan penggunaan sabun dan berus.
● Gunakan saja kain pengelap untuk menyental kotoran degil yang sekali gus mengeringkan tempat itu.
5)Bersihkan cermin menggunakan cecair pencuci atau cuka.
● Jangan lupa, cermin antara perhiasan bilik mandi pertama yang dilihat dan ditatap tetamu.
● Pastikan permukaannya bersih serta bersinar-sinar.
6)Mangkuk tandas juga perlu dibersihkan dan tidak perlu terlalu teliti.
● Lap bahagian luar mangkuk tandas menggunakan tisu basmi kuman atau pengelap yang dicampur dengan bahan penyahjangkitan.
No comments:
Post a Comment