Alhamdulillah dengan izin dan limpah kurniaNya, program CSR LHDNM di Asrama Baitul Ummah, Taman Setapak Indah KL telah berlangsung dengan jayanya. Majlis penyerahan telah disempurnakan oleh YBhg. Tan Sri Hasmah Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif/Ketua Pengarah HDN, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia sambil disaksikan oleh YBerusaha Puan Rozina Shaik Osman Merican, Pengarah Jabatan Khidmat Korporat dan beberapa orang AJK CSR LHDNM pada 4 September 2010.
YBhg. Tan Sri Hasmah bergambar bersama YBhg. Ustaz Abd. Rahman di perkarangan Asrama Baitul Ummah.
Kehadiran Rombongan LHDNM telah disambut mesra oleh YBhg. Ustaz Abd. Rahman Ramani Abdullah (Pengasas merangkap Pengerusi Asrama Baitul Ummah), Sukarelawan Baitul Ummah dan Anak-anak Yatim serta Fakir Miskin yang menghuni Asrama tersebut. Dalam program ini, LHDNM melalui kutipan yang telah dilakukan oleh Ibu Pejabat, Seluruh LHDNM Negeri Selangor, seluruh LHDNM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan LHDNM Wilayah Persekutuan Putrajaya telah menyumbangkan Duit Raya kepada semua penghuni Baitul Ummah serta sedikit wang tunai untuk kegunaan operasi Asrama tersebut. Selain tunai, LHDNM juga berjaya menyalurkan sumbangan berupa kasut hari raya daripada Syarikat Bata (M) Sdn. Bhd.
YBhg. Tan Sri menyampaikan ucapan ringkas.
Dalam ucapan ringkas YBhg. Tan Sri, beliau telah menyampaikan salam seluruh Warga Hasil kepada semua penghuni Asrama Baitul Ummah dan berharap agar setiap penghuni di sini sentiasa mensyukuri nikmat yang masih diberikan oleh Allah SWT. Manakala YBhg. Ustaz Abd. Rahman pula sentiasa menyeru semua pihak agar terus bermurah hati untuk berkongsi kegembiraan dengan mereka melalui sumbangan-sumbangan berterusan dan bukan ketika Bulan Ramadhan sahaja. Beliau dan seluruh penghuni Baitul Ummah juga mendoakan kesejahteraan para penderma dan pemberi sumbangan.
No comments:
Post a Comment