Wednesday, November 10, 2010

Pusat Jagaan Anak

KUALA LUMPUR: Penyediaan pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja mampu mendorong pekerja, terdiri golongan ibu dan bapa, lebih fokus terhadap tugas yang diberi, setia kepada majikan dan meningkatkan produktiviti mereka, seterusnya membantu pembangunan sesebuah syarikat.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, laporan mengenai bayi hilang, anak dicuri, amah kurang siuman dan kes dera dilakukan penjaga kanak-kanak menambah kerisauan ibu bapa sehingga ramai pekerja wanita mengambil keputusan menarik diri dari pasaran kerja untuk menjaga anak masing-masing.

Beliau berkata, keadaan itu secara tidak langsung menyebabkan banyak organisasi mengalami kerugian dari segi kumpulan bakat apabila kehilangan pekerja mahir manakala negara pula kerugian dari aspek sumber manusia berkualiti.

“Cara paling efektif untuk menyelesaikan masalah ini adalah setiap majikan perlu menyediakan pusat jagaan di tempat kerja bagi menempatkan anak-anak pekerja mereka.
“Banyak kelebihan boleh diperoleh majikan sekiranya menyediakan pusat jagaan berkenaan, antaranya menjadi pilihan utama golongan pekerja dan ia terbukti apabila laporan Fortune 500 mendedahkan hampir satu pertiga daripada syarikat yang menjadi pilihan utama adalah yang mempunyai pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika melancarkan dokumen panduan ‘How To Set Up A Child Care Centre At The Work Place’ (Bagaimana membuka pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja) hasil kerjasama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef), di Menara SSM, di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Azmi Ariffin dan wakil Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unicef) di Malaysia dan Brunei, Hans Olsen.

No comments:

Post a Comment