Wednesday, March 16, 2011

Kahak Litupi Paru-paru (Bronkiul Akut)




MESIN penyedut khas digunakan bagi mengeluarkan kahak yang mula melitupi paru-paru.
PADA malam itu anak perempuan Hanisah, Mia yang baru berusia enam bulan setengah tidak lena tidur. Sekejap-sekejap dia terjaga dan terbatuk.



Keesokan paginya selepas memandikan Mia, Hanisah menyusukan anaknya seperti biasa. Tetapi Mia kelihatan gelisah seakan-akan sukar untuk bernafas. Mia menolak susu yang diberi Hanisah. Hanisah mula risau. Dia kemudian membawa anaknya ke hospital dan berjumpa doktor pakar.



Mia didiagnosis penyakit bronkiul akut. Nasib baik Hanisah cepat bertindak sementelah kahak telah berkumpul di hidung dan paru-paru Mia. Keadaan lebih teruk berlaku pada Chacha. Bayi lelaki berusia lima bulan itu tidak tidur sepanjang malam. Nafasnya mengah dan dadanya berombak-ombak. Kepalanya panas, batuknya kerap dan kadangkala tidak putus. Sesekali berbunyi nafas berdehit.


Muntah
Ubat demam dan antibiotik yang dibekalkan sebuah klinik tidak dapat ditelan Chacha. Semuanya dimuntahkan semula. Chacha kemudian dibawa ke hospital. Doktor memberitahu Chacha dijangkiti penyakit bronkiul akut pada tahap yang teruk. Dia dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan diberikan bantuan pernafasan.



Lima hari Chacha berada di ICU dan tidak sedarkan diri. Setiap hari dia diberi Nebulizer (ubat cairkan kahak) sebelum kahaknya disedut menggunakan pam penyedut melalui hidung dan mulut. Selepas seminggu, Chacha dapat bernafas seperti biasa dan dipindahkan ke wad biasa.
Namun, batuknya masih teruk dan berkahak. Selepas dua minggu, barulah Chacha dibenarkan pulang ke rumah.



“Penyakit bronkiul akut terjadi disebabkan jangkitan beberapa jenis virus pada paru-paru. Paling kerap ia disebabkan oleh virus sinsitium pernafasan (RSV). “Virus itu menyebabkan paru-paru berkahak dan saluran pernafasan menjadi sempit. “Ia biasanya menyerang kanak-kanak yang berusia di bawah dua tahun,” kata Pakar Kanak-Kanak, Hospital Pakar Al-Islam, Kuala Lumpur, Dr. Noor Aziah Mohd. Saari kepada Jurnal.



Ujarnya, jangkitan virus tersebut disebabkan oleh beberapa faktor. Anak yang dihantar ke pusat penjagaan kanak-kanak memang lebih kerap mendapat jangkitan respiratori melalui batuk dan selesema secara tidak langsung daripada kanak-kanak lain. “Ini kerana mereka terdedah kepada lebih ramai kanak-kanak daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang.



“Cara yang paling baik untuk mencegahnya ialah dengan mengasingkan kanak-kanak yang menghidap demam dan batuk di bilik berasingan dan dijaga oleh penjaga yang berlainan. “Penyusuan susu ibu secara eksklusif juga lebih menguatkan antibodi seseorang bayi daripada dijangkiti pada usia yang sangat muda,” katanya yang berpengalaman selama 19 tahun dalam bidang perubatan kanak-kanak.



Berulang
Jelasnya, bronkiul akut juga sangat berkait rapat dengan persekitaran yang berhabuk, selain pendedahan kepada asap rokok serta binatang peliharaan di dalam rumah seperti kucing dan hamster. Malah, pendedahan kepada asap rokok semasa di dalam kandungan mendedahkan bayi kepada risiko bronkiul akut dan asma.



Aziah memberitahu, penyebab penyakit ini adalah virus, jadi pengambilan antibiotik tidak berkesan kecuali jika terdapat jangkitan bakteria. Namun, antivirus tidak digunakan secara meluas memandangkan ia mempunyai kesan sampingan. Ditanya sama ada penyakit tersebut boleh berulang, Aziah memberitahu, bronkiul akut boleh berulang disebabkan radang yang menyerang paru-paru.



“Jika simptomnya berterusan selama lebih tiga bulan, keadaan mungkin menjadi kronik. Lebih lazim lagi, bronkiul akut sering berlaku pada kanak-kanak yang mempunyai sejarah alergi atau asma dalam keluarga. “Dengan itu, simptom berpanjangan mungkin berkait rapat dengan masalah asma penghidap bronkiul akut.



“Penyakit ini boleh pulih sepenuhnya kalau dirawat pada peringkat awal terutama jika kanak-kanak itu tidak mempunyai sejarah asma atau alergi dalam keluarganya,” katanya. Ulas Aziah lagi, bronkiul akut juga boleh menjadi lebih rumit jika berlaku jangkitan radang paru-paru disebabkan bakteria.



“Dalam keadaan yang lebih parah lagi, ia boleh mengakibatkan kegagalan respiratori akut, iaitu keadaan paru-paru tidak dapat berfungsi dengan baik dan paras oksigen dalam darah turun ke tahap yang berbahaya. “Dalam keadaan ini, bantuan dengan mesin pernafasan adalah perlu,” katanya.




*info dari Kosmo , oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA